3 Jun 2025 • Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 3 JUN 2025 — Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Rozhan bin Mohd Ghazalli sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa pada 3 Jun 2025.
Datuk Rozhan Ghazalli merupakan seorang tokoh korporat dan usahawan berpengalaman dengan rekod perkhidmatan cemerlang dalam sektor perbankan, pelaburan, keusahawanan dan tanggungjawab sosial. Berkelulusan pascasiswazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat, beliau memulakan kerjayanya di Citibank NA Kuala Lumpur pada tahun 1985. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di bank tersebut, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Naib Presiden dan Ketua Bahagian Sektor Awam.
Beliau kemudian menyertai BSN Merchant Bank sebapai Pengurus Besar merangkap Ketua Operasi Kredit, Perbankan dan Perbendaharaan dari tahun 1995 hingga 2000. Dengan lebih 24 tahun pengalaman sebagai usahawan, beliau terlibat dalam pelbagai sektor termasuk industri kesihatan dan kesejahteraan, makanan, perlindungan dokumen keselamatan tinggi, serta pembuatan dan pembungkusan label dan tag.
Datuk Rozhan juga aktif dalam memberi khidmat nasihat berkenaan perundingan perniagaan yang merangkumi sektor pengangkutan, telekomunikasi, teknologi maklumat dan digital, minyak dan gas serta hartanah. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan OVD Systems (M) Sdn. Bhd., dan turut terlibat dalam modal teroka untuk syarikat-syarikat baru.
Komitmen beliau terhadap tanggungjawab sosial juga jelas terserlah melalui peranan beliau sebagai bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Victoria Institution. Kini, beliau terus menyumbang khidmat bakti sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ansar Al-Hadith.
Pelantikan ini diyakini akan memperkukuh hala tuju strategik PERNAS dalam menyokong pembangunan keusahawanan negara, khususnya dalam sektor francais dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau inisiatif lain Pernas, sila hubungi:
Nurshuhadah Hamid
Pemangku Ketua, Jabatan Komunikasi Strategik
Emel : shuhadah.hamid@pernas.mv
No. Telefon : +603-2082 7788 samb. 7948
PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.
Pernas komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia. Dari bimbinpan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan, kami menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan, mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang. Dengan cara ini, kami percaya ia dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia.
Laman web : www.pernas.my
Facebook : pernasofficial
Twitter : pernasofficial
Instagram : pernasofficial