Pernas Dan Persatuan SME Sabah Buka Peluang Perniagaan Francais Untuk Usahawan Di Borneo

14 Ogos 2026 • Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 — Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) terus memperkukuh usaha memperkasa usahawan di Sabah menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan SME Sabah melalui program Franchisor & Business Engagement Session (FBES) yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

Program ini telah menghimpunkan seramai 40 usahawan tempatan dengan matlamat membuka peluang kepada usahawan Sabah untuk meneroka potensi perniagaan francais serta mengembangkan jenama tempatan ke pasaran yang lebih luas. Turut hadir dalam program tersebut, Dato’ Rohaizi bin Bahari, Setiausaha Bahagian Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai tanda sokongan kepada para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah dalam usaha memperkukuh dan mengembangkan perniagaan mereka ke arah francais.

Azizam Ramli, Ketua Pegawai Perniagaan Pernas, berkata Sabah merupakan pasaran strategik yang mempunyai pelbagai perniagaan tempatan berpotensi untuk dikembangkan melalui model francais.

“Pernas mengiktiraf potensi besar yang dimiliki oleh usahawan di Sabah. Kami mahu memastikan usahawan di seluruh negara mempunyai akses yang setara sama ada dari segi peluang perniagaan, pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan SME Sabah, Dr. Tan Hui San, berkata Sabah mempunyai banyak perniagaan tempatan yang menawarkan produk berkualiti, jenama unik dan potensi pertumbuhan yang tinggi. Namun, untuk membawa sesebuah perniagaan ke tahap yang lebih tinggi, ia bukan sahaja memerlukan produk yang baik, tetapi juga strategi, sumber, pengetahuan dan rangkaian yang tepat.

“Persatuan SME Sabah kekal komited untuk menghubungkan ahli kami dengan agensi kerajaan, rakan industri serta peluang yang dapat memperkukuh perniagaan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem PKS di Sabah,” katanya.

Usaha memperkasa usahawan di Sabah dan wilayah Borneo merupakan antara keutamaan jangka panjang Pernas. Selain menyediakan akses kepada pembiayaan, Pernas turut menawarkan pelbagai program latihan dan pembangunan kapasiti kepada usahawan serta orang awam, di samping sokongan dan khidmat nasihat berkaitan pembangunan perniagaan.

Komitmen ini akan diteruskan menerusi penyertaan Pernas dalam Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2026 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 September 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) melalui penganjuran Bizfrancais sepanjang acara berlangsung. Sepanjang ekspo tersebut, para pegawai Pernas akan berada di lokasi untuk menyediakan khidmat nasihat perniagaan secara percuma serta sesi latihan kepada bakal pemilik perniagaan francais dan usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.

– TAMAT –


Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau inisiatif lain Pernas, sila hubungi:

Nurshuhadah Hamid
Jabatan Komunikasi Strategik
Emel : shuhadah.hamid@pernas.my
No. Telefon: +603-3001 7824

Farazuha Aripin 
Eksekutif Jabatan Komunikasi Strategik
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)
Emel : farazuha.aripin@pernas.my
No. Telefon : +6017-7246124


PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.

Pernas komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia. Dari bimbingan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan, kami menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan, mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang. Dengan cara ini, kami percaya ia dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia.

Laman web : www.pernas.my

Facebook    : pernasofficial
X                 : @pernasofficial
Instagram : @pernasofficial

Pernas Dan Persatuan SME Sabah Buka Peluang Perniagaan Francais Untuk Usahawan Di Borneo

Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 — Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) terus memperkukuh usaha memperkasa usahawan di Sabah menerusi kerjasama strategik

Penyaluran Pembiayaan RM21 Juta Bagi Memperkasa Usahawan Francais

Pulau Pinang

PULAU PINANG, 27 Julai 2026 – Penyaluran pembiayaan perniagaan francais berjumlah RM21 juta telah diberikan kepada 69 usahawan francais Bumiputera

Pernas Perkasa Ibu Tunggal B40 Melalui Kerjasama CSR Bersama Universiti Sains Malaysia

Pulau Pinang

PULAU PINANG, 26 Julai 2026 – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) hari ini menjalin
kerjasama bersama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi