Bizfrancais 2025 Perkukuh Perniagaan Francais Di Negeri Kenyalang

19 Julai 2025 • Kuching

KUCHING, 19 JULAI 2025 – Program BizFrancais Sarawak 2025 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melabuhkan tirainya hari ini dengan penyertaan lebih 30 pempamer termasuk agensi kerajaan, syarikat francaisor, pra-francaisor dan usahawan tempatan. Acara yang berlangsung di Hikmah Exchange, Kuching ini berjaya menghimpunkan para pemain industri dan bakal usahawan francais dari seluruh Sarawak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak (MYSED), yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperkasa landskap keusahawanan negeri ini.

“Penganjuran program hari ini merupakan bukti nyata bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan melalui KUSKOP dan agensi pelaksananya Pernas, bersama Kerajaan Negeri Sarawak melalui MYSED, mampu memberi impak besar terhadap pembangunan usahawan, khususnya dalam bidang francais,” ujar beliau dalam ucapannya.

Beliau turut menyeru agar program seperti ini diperluaskan ke daerah-daerah lain di Sarawak seperti Sibu, Miri, Bintulu serta kawasan pedalaman agar lebih ramai usahawan tempatan turut mendapat manfaat dan bimbingan secara langsung.

Pernas melihat BizFrancais sebagai platform strategik untuk memberi pendedahan, sokongan dan peluang jaringan kepada usahawan serta bakal usahawan francais. Sehingga kini, lebih 77 usahawan francais dan pra-francais dari Sarawak telah menerima bimbingan melalui pelbagai inisiatif pembangunan perniagaan dan pembiayaan yang dilaksanakan Pernas, melibatkan pelaburan keseluruhan bernilai RM22 juta.

Pernas turut menganjurkan program latihan keusahawanan i-VIP sehari sebelum BizFrancais berlangsung, dengan kerjasama Perhebat Sarawak. Program ini menyasarkan pesara bumiputera yang ingin menceburi bidang francais, menerusi pendekatan bersepadu melibatkan latihan, pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan.

Antara pengisian utama BizFrancais Sarawak 2025 ialah forum keusahawanan yang menampilkan panel berpengalaman daripada kalangan francaisor, francaisi, wakil agensi dan pemain industri. Turut disediakan ialah sesi interaktif, kuiz dan cabutan bertuah sebagai elemen tarikan yang berinformatif kepada pengunjung.

Penganjuran BizFrancais Sarawak 2025 mencerminkan usaha berterusan Pernas dalam memperluas akses terhadap peluang perniagaan francais serta memupuk semangat keusahawanan di peringkat akar umbi, sejajar dengan matlamat membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan di seluruh negara.

Selepas negeri Sarawak, siri BizFrancais akan diteruskan ke dua lagi lokasi utama iaitu Sabah dan Johor, sebagai kesinambungan kepada usaha memperluas manfaat pembangunan industri francais ke seluruh pelosok negara.


Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau inisiatif lain Pernas, sila hubungi:
Nurshuhadah Hamid
Pemangku Ketua, Jabatan Komunikasi Strategik
Emel : shuhadah.hamid@pernas.my
No. Telefon: +603-2082 7788 samb. 7948

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.

Pernas komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia. Dari bimbingan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan, kami menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan, mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang. Dengan cara ini, kami percaya ia dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia.

Laman web : www.pernas.my
Facebook : pernasofficial
Twitter : pernasofficial
Instagram : pernasofficial

  Muat Turun PDF

Bizfrancais 2025 Perkukuh Perniagaan Francais Di Negeri Kenyalang

• Kuching

Program BizFrancais Sarawak 2025 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melabuhkan tirainya hari ini dengan penyertaan lebih 30 pempamer termasuk

Pernas Buka Tirai Siri Jelajah Bizfrancais 2025 Di Kelantan

• Kota Bharu

Program BizFrancais Kelantan 2025 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) membuka tirai siri jelajah tahun ini dengan penganjuran yang lebih

Pernas Umum Datuk Rozhan Ghazalli Sebagai Pengerusi Baharu

• Kuala Lumpur

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Rozhan bin Mohd Ghazalli sebagai Pengerusi Bebas Bukan