19 July 2025 • Kuching • Suara Sarawak
KUCHING: Seramai 77 usahawan francais dan pra-francais dari Sarawak telah menerima bimbingan daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melibatkan pelaburan berjumlah RM22 juta setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan perniagaan dan pembiayaan khusus bagi membantu usahawan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Disebabkan itu, penganjuran Program BizFrancais bukan sahaja ruang pameran model perniagaan, malah menjadi platform strategik untuk memberi pendedahan dan sokongan kepada usahawan dan bakal usahawan francais,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penutupan Program BizFrancais Sarawak 2025 yang menghimpunkan lebih 30 pempamer termasuk agensi kerajaan, syarikat francaisor, pra-francaisor serta usahawan tempatan di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan (MYSED), Datuk Dr. Ripin Lamat. Dalam masa sama, kata Nor Azam, PERNAS turut menganjurkan program latihan keusahawanan i-VIP sehari sebelum BizFrancais berlangsung, dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Sarawak pada Jumaat.
Program ini, katanya, menyasarkan pesara Bumiputera yang ingin menceburi bidang francais, menerusi pendekatan bersepadu melibatkan latihan, pembiayaan dan khidmat nasihat.
Berhubung BizFrancais pula, beliau berkata, antara pengisian utama program adalah forum keusahawanan yang menampilkan panel berpengalaman termasuk francaisor, francaisi, wakil agensi dan pemain industri bagi memperkasa pengetahuan peserta dalam bidang francais.
“Program anjuran PERNAS itu juga disertakan pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi interaktif, kuiz dan cabutan bertuah sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung.
“Ini kerana program ini merupakan antara platform penting bagi menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, khususnya dalam mengembangkan sektor francais sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

