19 May 2026 • Jakarta, Indonesia • TVS
Malaysia mencatatkan kejayaan cemerlang apabila jualan berpotensi hampir RM100 juta direkodkan di Franchise and License Expo Indonesia (FLEI) 2026.
Acara empat hari yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (MECD) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu berjaya mengukuhkan kerjasama perdagangan dan francais serantau.
Setiausaha Bahagian Pemerkasaan Keusahawanan MECD, Norli Karim dalam satu kenyataan berkata, lebih 300 sesi pertemuan perniagaan telah dianjurkan oleh MATRADE Indonesia antara jenama francais Malaysia dan rakan perniagaan Indonesia.
Menurutnya, sebanyak 10 syarikat Malaysia terpilih menyertai FLEI 2026 dengan matlamat memperkukuhkan kehadiran jenama Malaysia di pasaran Indonesia.
“Tahun ini, syarikat terpilih daripada pelbagai sektor, iaitu Artivo, Findbulous, ILUVQURAN, Mee Hiris China Muslim, Midyson, Bonda, Dsara Fried Chicken, 1901, Dapur Mama Original Nasi Kukus dan Ar-Rahn, telah menyertai acara tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan itu, salah satu kejayaan menonjol ialah ILUVQURAN yang dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelabur tempatan, menandakan langkah positif hasil daripada FLEI 2026.
Jelasnya, pencapaian tersebut menunjukkan minat tinggi pasaran Indonesia untuk kerjasama jangka panjang dan pelaburan bersama jenama Malaysia.
Norli Karim memaklumkan bahawa kerjasama berterusan dengan MATRADE akan membantu memperluas akses pasaran bagi francais Malaysia, sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk konsep perniagaan inovatif dan mampu milik di rantau ASEAN.
Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Indonesia, Suresh Kumar berkata, Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran paling menjanjikan untuk pengembangan francais Malaysia.
“Sambutan positif di FLEI 2026 membuktikan permintaan yang tinggi terhadap konsep perniagaan berkualiti dan mampu milik dari Malaysia,” ujar kenyataan itu.
Katanya, Indonesia menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh dengan lebih 1,100 jenama francais dan 68,000 cawangan di seluruh negara.
Dalam pada itu, PERNAS juga menekankan komitmen untuk terus meneroka peluang di Indonesia sebagai destinasi strategik untuk pengembangan francais serantau.


