16 Ogos 2025 • Penampang • TVS
PENAMPANG, 16 Ogos: Usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan negara diterjemahkan melalui penganjuran Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM4.25 juta sepanjang tiga hari berlangsung di Buhavan Square, di sini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sasaran itu merangkumi jualan BizFrancais Pernas bernilai RM4 juta dan jualan usahawan UDA sebanyak RM250,000.
“Kolaborasi antara UDA Holdings Berhad (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) ini mencerminkan sinergi agensi di bawah kementerian dalam memperkasa ekosistem keusahawanan hingga ke akar umbi. Ia bukan sahaja membantu usahawan bandar, malah memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan.
Menurut Ewon, Karnival UDA yang diperkenalkan sejak 2022 selaras dengan aspirasi kementerian untuk menyediakan ekosistem kondusif serta akses pasaran yang menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan negara.
Kepelbagaian latar belakang peserta, katanya, menjadikan karnival itu platform inklusif untuk memperkukuh jaringan perniagaan dan pemerkasaan jenama tempatan.
“Kehadiran pelbagai agensi di bawah KUSKOP bersama UDA dan PERNAS turut menzahirkan komitmen kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera berasaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” ujarnya.
Ewon berkata, UDA kini memiliki lebih 1,000 lot ruang niaga di seluruh negara, selain melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARi), UDA Craft Corner (KIRANA), UDA Bizznita, UDA 4 Youth dan UDA Preneur.
Tambahnya, kerajaan juga komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah melalui peluasan peluang perniagaan, penyediaan premis komersial, akses pembiayaan serta pelaksanaan program latihan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Harapan saya ialah melihat UDA meningkatkan lagi peranannya di Sabah dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, agar lebih ramai usahawan tempatan menikmati peluang sama rata seperti di negeri lain,” jelasnya.-TVS

