Ewon cadang Dapur Digital dijadikan koperasi

21 Ogos 2025 • Kuala Lumpur • Utusan Borneo Online

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, mencadangkan agar Dapur Digital diinstitusikan sebagai koperasi bagi menjamin kelestarian dan kemampanan perusahaan sosial.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedia membantu usaha mengangkat inisiatif berkenaan ke peringkat lebih teratur.

Dengan penginstitusian koperasi, lebih banyak bantuan dan sokongan mampu disalurkan kepada Dapur Digital di seluruh negara.

“Saya mencadangkan Dapur Digital Kampung Limau dijadikan perintis kepada penubuhan Koperasi Dapur Digital seterusnya berperanan sebagai mentor kepada Dapur Digital lain,” katanya ketika berucap merasmikan Dapur Digital Kampung Limau di ibu negara.

Majlis itu turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Rahman Mohd Din, Pengarah Urusan Pepper Labs Thanaselan Rajendran, Ketua Pengarah Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Viviantie Sarjuni bersama pegawai kanan kementerian dan agensi.

Dapur Digital lahir melalui inisiatif sosial Pepper Labs untuk menggerakkan keusahawanan wanita di kawasan perumahan bandar sekitar Kuala Lumpur.

Melalui platform itu, wanita khususnya ibu tunggal, suri rumah dan golongan belia diberi ruang membina kendiri ekonomi secara berkelompok.

Pendekatan digital digunakan dalam tadbir urus, termasuk pengurusan tempahan serta pemasaran produk makanan.

Setakat ini, 15 Dapur Digital dibangunkan di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Antara lokasinya ialah Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh dan Titiwangsa.

Ewon berkata, kementeriannya bersama agensi berkaitan akan terus membantu supaya inisiatif ini mampu berkembang secara mampan.

Katanya, koperasi dapat menjadi medium paling sesuai untuk menggerakkan Dapur Digital secara sistematik dan terancang.

“Dapur Digital bukan sekadar projek pembangunan, tetapi simbol harapan kepada golongan B40 agar mampu menjana pendapatan melalui kemahiran memasak yang disokong teknologi digital dan platform e-dagang,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 2024 lima projek rintis Dapur Digital dilaksanakan dengan pencapaian yang membanggakan.

“Sehingga Jun 2025, jumlah jualan kumulatif melebihi RM1.2 juta hasil daripada usaha kolektif pengusaha Dapur Digital.

“Pencapaian ini membuktikan apabila rakyat diberi ruang, peluang dan bimbingan, mereka mampu mencipta kejayaan,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 bagi membina 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara.

Selain inisiatif itu, Ewon berkata, pelbagai program lain digerakkan untuk memperkasa usahawan mikro dan golongan berpendapatan rendah.

Antaranya BizME di bawah SME Corp, RAKYATpreneur 6.0 oleh Bank Rakyat, latihan keusahawanan anjuran INSKEN, Be Your Own Boss kendalian PERNAS, Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM dan MySMELady 2.0 melalui SME Bank.

Kerjasama sektor swasta turut digembleng, termasuk Maxis yang menyediakan latihan digital, Brahim’s dengan pembekalan sos serta pes makanan, Media Prima yang menyokong penjenamaan, dan PPB Group menyumbang peralatan industri bakeri.

“Sinergi antara sektor awam dan swasta inilah yang akan memastikan Dapur Digital terus berdaya saing dan kekal mampan.

“Saya yakin pelaksanaan menyeluruh mampu melahirkan lebih ramai usahawan mikro digital yang memberi sumbangan kepada pertumbuhan KDNK negara serta merapatkan jurang digital, sejajar aspirasi MyDIGITAL,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar komuniti Kampung Limau dan penggerak Dapur Digital supaya memanfaatkan sepenuhnya platform ini sebagai medan rezeki, pembelajaran, kolaborasi dan pembinaan masa depan.

“Dengan sokongan kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat, saya percaya Dapur Digital akan menjadi simbol keupayaan rakyat Malaysia untuk berdikari, bersaing dan berjaya dalam landskap ekonomi digital masa hadapan,” katanya.

Ewon cadang Dapur Digital dijadikan koperasi

Over RM770 Million Allocated to Boost Entrepreneurs and Cooperatives in Sabah

• Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: A total of 40,797 micro, small, and medium enterprise (PMKS) entrepreneurs and

Dewan Rakyat: KUSKOP perkasa usahawan koperasi Sabah, Sarawak

• Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasa

Kuskop salur RM7.96 bilion, 282,000 usahawan dan koperasi

• Temerloh

TEMERLOH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) terus memperkukuh ekosistem