26 Ogos 2025 • Kuala Lumpur • TVS
KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menyokong peniaga kecil dan usahawan tempatan yang terkesan akibat pelaksanaan inisiatif kos sara hidup seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jualan Rahmah.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan ini termasuk mengambil pendekatan seimbang yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan tempatan.
Jelas beliau, KUSKOP menyedari kebimbangan sesetengah peniaga berhubung persaingan harga, namun menegaskan bahawa inisiatif-inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada aspirasi Malaysia MADANI yang mementingkan rakyat berpendapatan rendah.
“Pendekatan seimbang perlu diambil agar kedua-dua keperluan termasuk membantu rakyat dan menjamin kelangsungan peniaga kecil dapat diseimbangkan.
“KUSKOP komited untuk menyediakan pelbagai sokongan demi memastikan peniaga kecil kekal berdaya saing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Perikatan Nasional – Kuala Krai) yang ingin tahu pertimbangan KUSKOP terhadap keluhan peniaga kecil yang mendakwa jualan mereka semakin terjejas akibat inisiatif pelaksanaan SARA dan Jualan Rahmah yang menawarkan harga jauh lebih rendah.
Abdul Latif juga bertanya mengenai langkah mitigasi bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil tidak terjejas dalam usaha membantu
pengguna.
Ramanan turut menjelaskan antara inisiatif utama yang dilaksanakan KUSKOP termasuk Studio TikTok, Platform MyMall dan pelbagai program bimbingan keusahawanan melalui agensi seperti TEKUN Nasional dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang bertujuan membantu peniaga kecil mengadaptasi teknologi digital untuk memperluaskan pasaran dan meningkatkan jualan.
Program Padan Niaga SDSI pula katanya, membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk berhubung dengan pengedar, ejen pemasaran, pengimport serta pasar raya besar sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan mereka di bawah kerangka Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
“Usahawan juga boleh menyertai pelbagai karnival dan program promosi seperti Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK), Program Jualan MADANI, Minggu PMKS dan Showcase SDSI yang dianjurkan oleh KUSKOP dan agensi seperti UDA Holdings, TEKUN dan PERNAS,” tambah beliau.
Selain itu, inisiatif seperti Mari Mart yang berperanan sebagai pusat borong sehenti di bawah kendalian UDA Holdings telah menyediakan platform pasaran berpusat untuk produk usahawan tempatan.
Sehingga 2025, lebih 400 usahawan telah menempatkan produk mereka di cawangan Mari Mart di Johor Bahru, Ipoh, Seremban dan Bertam Perdana.
Di kawasan luar bandar pula jelas Ramanan, KUSKOP turut membina dan menaik taraf infrastruktur niaga menerusi projek tamu desa.
Pada 2024 sahaja ujarnya, sebanyak 59 projek di Sabah dengan nilai RM11.43 juta dan 39 projek di Sarawak bernilai RM6.6 juta telah dilaksanakan, merangkumi pembinaan serta naik taraf ruang perniagaan untuk penjaja dan peniaga kecil.
“Kami percaya peniaga kecil ialah tulang belakang ekonomi rakyat. Usaha memperkasakan mereka akan diteruskan di seluruh negara,” katanya. -TVS

