20 Ogos 2025 • Kuala Lumpur • Borneo Daily Buletin
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, mencadangkan agar Dapur Digital diinstitusikan sebagai koperasi bagi memastikan kelestarian dan kemampanan perusahaan sosial itu.
Beliau berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia membantu merealisasikan hasrat berkenaan.
“Saya berpandangan terdapat keperluan untuk menginstitusikan Dapur Digital supaya lebih banyak bantuan dan sokongan dapat disalurkan kepada inisiatif ini.
“Oleh itu, saya mencadangkan Dapur Digital Kampung Limau dijadikan perintis kepada penubuhan Koperasi Dapur Digital, seterusnya berperanan sebagai mentor kepada Dapur Digital lain,” katanya ketika berucap merasmikan Dapur Digital Kampung Limau, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Rahman Mohd Din, Pengarah Urusan Pepper Labs Thanaselan Rajendran, Ketua Pengarah Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni serta pegawai-pegawai kanan agensi dan kementerian.
Dapur Digital merupakan inisiatif perusahaan sosial oleh Pepper Labs untuk menggerakkan keusahawanan wanita di perumahan-perumahan bandar di sekitar Kuala Lumpur, membina kendiri ekonomi secara berkelompok dengan menggunakan pendigitalan dalam tadbir urus perusahaan khususnya pemasaran.
Setakat ini, sebanyak 15 Dapur Digital telah dibangunkan di sekitar Lembah Klang pada tahun lalu dan tahun ini, antaranya di Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh dan Titiwangsa.
Ewon berkata, kementeriannya dan agensi-agensi akan membantu memastikan kemampanan inisiatif ini termasuk menggerakkan penubuhan Koperasi Dapur Digital dapat direalisasikan.
“Dapur Digital bukan sekadar projek pembangunan, tetapi simbol harapan untuk golongan B40 khususnya ibu tunggal, belia dan suri rumah agar mampu menjana pendapatan melalui kemahiran memasak yang disokong teknologi digital dan platform e-dagang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang 2024, lima projek rintis Dapur Digital telah dilaksanakan dengan pencapaian membanggakan. Sehingga Jun 2025, jumlah jualan kumulatif melebihi RM1.2 juta.
“Ini membuktikan apabila rakyat diberi ruang, peluang dan bimbingan, mereka mampu mencipta kejayaan.
“Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan peruntukan tambahan bagi membina 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara dalam Belanjawan 2025,” jelasnya.
Ewon berkata, kementeriannya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa usahawan mikro dan golongan berpendapatan rendah, termasuk BizME (SME Corp), RAKYATpreneur 6.0 (Bank Rakyat), program latihan oleh INSKEN, Be Your Own Boss (PERNAS), Skim Pembiayaan Ikhtiar (AIM) dan MySMELady 2.0 (SME Bank).
Selain itu katanya, kerjasama sektor swasta turut digerakkan melalui Maxis dengan latihan digital, Brahim’s dengan pembekalan sos dan pes makanan, Media Prima dengan sokongan penjenamaan serta PPB Group yang menyumbang peralatan industri bakeri.
“Sinergi antara sektor awam dan swasta inilah yang akan memastikan Dapur Digital terus berdaya saing dan mampan.
“Dengan pelaksanaan menyeluruh, kita akan melahirkan lebih ramai usahawan mikro digital yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara serta membantu merapatkan jurang digital, selaras dengan aspirasi MyDIGITAL,” katanya.
Ewon turut menyeru komuniti Kampung Limau dan penggerak Dapur Digital agar memanfaatkan sepenuhnya platform itu sebagai medan rezeki, pembelajaran, kolaborasi dan pembinaan masa depan.
“Dengan sokongan kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat, saya yakin Dapur Digital mampu menjadi simbol keupayaan rakyat Malaysia untuk berdikari, bersaing dan berjaya dalam landskap ekonomi digital masa hadapan,” katanya.

