4 March 2026 • Shah Alam • Malaysia Tribune
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan tradisi apabila menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan, CSR Sinar Ramadan 2026 bagi membawa pengalaman Hari Raya yang bermakna kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Program tahun ini melibatkan 70 kanak-kanak dari Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi yang dibawa ke Jakel Mall Seksyen 7, Shah Alam, di sini semalam untuk sesi membeli sendiri kelengkapan Aidilfitri termasuk pakaian dan barangan raya lain.
Mereka ditemani dan dibantu oleh kakitangan Pernas bagi memastikan pengalaman itu menyeronokkan dan interaktif.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang lebih menumpukan majlis iftar bersama penerima dan kakitangan, program kali ini memberi peluang anak-anak memilih sendiri barangan raya mereka, sekali gus memupuk kegembiraan sambil mengeratkan hubungan antara Pernas dan penerima.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib.
Selain sesi membeli-belah, program turut menyaksikan penyampaian cek bantuan kewangan kepada Pertubuhan Baitul Ehsan Alkhairi untuk keperluan pertubuhan serta pemberian duit raya kepada anak-anak yang terlibat.
CSR Sinar Ramadan 2026 dilihat sebagai simbol komitmen berterusan Pernas dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat, sambil mewujudkan impak positif dan hubungan bermakna bersama komuniti.


